Thursday, October 1, 2009

Character designer 2

Saya masih ingat, semasa masih menuntut di matrikulasi Changlun, abi dan umi datang melawat semasa cuti hujung minggu,mereka bawa bersama surat panggilan temuduga untuk pengambilan guru lepasan SPM. Saya berkeras habis-habisan tidak mahu menghadiri temuduga itu kerana takut jika lulus saya akan menjadi seorang guru. Saya tidak tahu dari mana saya perolehi rasa fobia dengan kerjaya guru itu sehingga temuduganya pun saya tidak mahu cuba. Tapi, Allah Maha Berkuasa kerana Dia sudah takdirkan bahawa saya perlu belajar dan merasai bagaimana mendidik si khalifah cilik, lalu apabila mendapat tawaran sebagai guru ganti di sekolah kebangsaan Bukit Pinang, saya terus terima tanpa rasa fobia atau sebuah kerisauan. Dalam fikiran saya, inilah masanya saya menimba pengalaman dan meraih redhaNYA lagi pula sekolah ia bukan sekolah lain, ia tempat saya belajar dahulu. Saya cuba ikhlaskan hati pada setiap pagi sebelum ke sekolah kerana saya sedar, apabila sahaja menjejakkan kaki di sekolah, pelbagai dugaan akan bergilir menguji
keikhlasan di hati.
Saya diberi amanah untuk mengajar matematik bagi tahun2,3 dan 4 di samping matapelajaran lainnya. Semua kelas itu adalah kelas terakhir, awal-awal lagi guru-guru lain sudah memberi signal supaya tidak memberi muka kepada pelajar-pelajar ini kerana mereka sangat nakal. Selama seminggu saya di situ, keikhlasan saya teruji setiap kali berhadapan dengan kerenah anak-anak murid yang nakal, Mereka bising ketika saya mengajar dan hanya diam apabila dimarahi. Saya terfikir, beginikah saya dahulu? Kasihan guru-guru saya, terpaksa menjerit-jerit dan menanggung tekanan dengan kerenah kami. Baru saya tahu, bukan mudah menjadi guru yang mengajar dan mendidik. Susah, tak hairanlah kakak saya sering menangis kerana anak-anak muridnya. Menangis kerana terguris perasaan dan sekaligus kasihan meihat kurangnya didikan moral yang semestinya berkait rapat dengan agama.
Kebetulan ketika itu bulan Ramadhan
“Siapa yang berpuasa hari ini?”
Saya bertanya kepada semua murid tahun 4. Semua bersemangat mengangkat tangn tinggi-tinggi, sampai nampak pangkal lengan.
“Wahh,bagus ye,semua puasa. Hm siapa yang solat subuh pagi tadi?”
Semua tersengih-sengih, ada 2 orang yang mengangkat tangan penuh bangga.
“Aik? Cikgu hairan dengan kamu, kamu boleh puasa tapi solat subuh 2 rakaat kamu tak mampu?”
Mereka diam, saya merenung wajah-wajah kecil itu sambil berkata lagi
“Ingat apa yang cikgu cakap ni ya? Puasa itu wajib, tapi solat juga wajib. Jangan tinggalkan setengah dan buat setengah, tak lengkap jadinya, faham?”
“Faham ustazah, eh teacher!” saya sekadar tersenyum mendengar sasulan murid saya itu.
“Hm cikgu nak tanya, umur kamu semua berapa sekarang?”
“10 tahun!!” Mereka menjawab serentak.
“Ada tak ustazah atau ustaz yang beritahu, Rasulullah cakap apa kalau anak berumur 10 tahun tapi tak nak solat?”
“Tak dak pun..” ada dua tiga orang yang menjawab, yang lain terpinga-pinga.
“Cikgu rasa ada diberitahu tapi kamu tak ingat kot? Rasulullah s.a.w bersabda, kalau anakmu berumur 10 tahun tapi ia masih belum mahu bersolat, maka pukullah ia.” Diam,mereka memandang wajah saya menanti ayat seterusnya.
“Jadi,cikgu nak pukul sikit siapa yang tak solat pagi tadi..” aku melangkah menuju ke meja guru dan mahu mencapai rotan,bunyi bising sudah kedengaran di belakang.
“Hukuman yang cikgu beri ini hanya kecil berbanding hukuman Allah di neraka,kamu tak mahu masuk neraka bukan?” saya sekadar memukul tapak tangan mereka.
“Tak mahu!!” mereka menjawab serentak.
“Jadi, mulai esok, solat ya?” ada yang mengangguk-angguk,ada yang hanya memandang dengan pandangan kosong, dan ada yang sibuk berbual.
**************************************************************************************************
Itu antara apa yang saya sering ingatkan kepada murid-murid saya dalam setiap kelas. Satu ketika, saya mengajar kelas tahun 3, memberi tugasan kepada mereka untuk diselesaikan, kemudian saya lihat sekumpulan pelajar sedang mengerumuni sesuatu di belakang.
“Ehem..boleh cikgu tahu, apa yang kamu tengok di belakang tu?” saya melontar soalan kepada kumpulan itu, mereka begitu asyik sehingga saya tidak dipedulikan.
“Cikgu, depa tengah tengok anak sumpah-sumpah. Ada mak dia dalam almari kat belakang tu.”seorang murid yang duduk di hadapan bertentangan dengan saya membuka mulut, ia tambah lagi
“Cikgu, hari tu depa buat demo sembelih binatang guna sumpah-sumpah tu, ee.. “ mungkin ia masih terbayang bagaimana tercerai kepala sumpah-smpah itu dari badannya.
“Astaghfirullahalazim!!” saya agak terkejut dengan penyataan murid itu. Lalu bingkas bangun menuju ke arah kumpulan murid di belakang itu. Nampak sahaja saya menuju ke arah mereka, terus bertempiaran.
“Mana kamu dapat sumpah-sumpah ni? Hari tu tikus,hari sumpah-sumpah esok apa pula? Siapa yang rajin sangat tangkap binatang-binatang ni?” saya melihat anak sumpah-sumpah yang kelihatan tidak bermaya dipermainkan oleh mereka.
“Cikgu tahu siapa punya kerja semua ini,” Saya mencari wajah yang cuba berselindung.
“Nik, kamu kan?” dia tersengih,kawan-kawan lain sibuk mengangguk.
“Kamu suka binatang ye Nik? Kamu jadilah pegawai perhilitan nanti, tapi sebelum tu kena belajar rajin-rajin. Kamu tahu tak perbuatan kamu menganiaya binatang. Kamu pisahkan dia dari ibunya. Allah tak suka Rasulullah larang. Kenapa kamu sembelih anak sumpah-sumpah?”
Saya cuba bersuara dengan nada yang lembut seolah-olah memujuk.
“Hm.. saya tengok ayah sembelih lembu,saya nak buat ayah tak bagi, saya cuba kat sumpah-sumpah tu”
Memang saya sudah agak,pasti ia telah melihat dan ingin melakukannya. Memang begitu fitrah kanak-kanak yang sedang belajar,
“Ok,dengar sini ye, kalu kita bunuh binatang bukan untuk di makan,itu namanya menganiaya. Baguslah,kamu mahu belajar, tapi kamu patut guna binatang yang boleh dimakan, macam burung ke ayam ke, dengan syarat burung dan ayam tu bukan hak orang lain. Nanti balik rumah beritahu ayah, kamu mahu belajar cara sembelih yang betul,mesti ayah kamu nak ajar. Faham?”
Nik mengangguk-angguk sambil tersenyum.
“Dah,sekarang pergi lepaskan semula binatang yang kamu tangkap dan kurung dalam almari tu”
Dia dan tiga orang rakannya yang lain mula mengambil sumpah-sumpah itu dan turun ke tingkat bawah untuk melepaskannya semula. Saya hanya mampu tersenyum.
***********************************************************************************************
Di waktu yang lain, saya masuk kelas tahun 2, ketika sedang mengajar, seorang murid perempuan datang menghampiri saya dengan wajah mendung bersalut duka. Mungkin hatinya sedang terluka.
“Cikgu, dia kata kakak saya orang siam.” Dia menarik siku saya cuba membawa saya kepada seorang murid perempuan lain.
“Kenapa kalau kakak kamu orang siam?”. Saya memandang wajah kedua-duanya silih berganti.
“Dia tak mau kawan dengan saya..” ada getar sebak di hujung ayatnya.
“Kenapa kalau dia orang siam,kamu tak boleh berkawankah? Kawan kamu ikhlas, tak kira dia orang apa pun, kamu kena berbaik-baik sebab kita orang islam walaupun lain bangsa.” Murid yang lagi seorang itu hanya mengangguk-angguk mungkin masih kaget dengan tindakan kawannya mengambil saya sebagai orang tengah.
“Ya,ya cikgu saya nak kawan dengan dia.” Dia tersenyum sipu. Murid yang hampir menangis tadi ,mula bersinar wajahnya.
“Ha, macam tu lah, baru seronok kawan ramai. Dah, jangan gaduh-gaduh lagi,sekarang salam kawan kamu”
Kedua-dua mereka bersalaman dengan senyuman yang melebar. Kemudian,saya sambung semula pengajaran.
Walaupun hanya 5 jam dalam sehari saya di sekolah, banyak lagi peristiwa yang berlaku yang tak tertulis di sini kerana itu bagi saya, sekolah bukan hanya tempat untuk mereka belajar , di sana, mereka merasai segala rempah yang terkandung dalam sebuah kehidupan. Yang nantinya rempah ratus itulah digunakan sepanjang perjalanan mereka menuju alam kedewasaan. Jika kita salah memberi ramuan, tidak mustahil suatu hari kelak, mereka akan mati keracunan di pertengahan jalan atau lebih buruk lagi mereka mewariskan ramuan beracun itu kepada generasi yang seterusnya.
Mereka legasi kita, bentuklah dengan acuan Allah, supaya kelak, mereka menjadi pembela bukan penentang agama.
Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah HAMBA “ (Al-Baqarah : 138)

Wednesday, September 30, 2009

Miracle library

Assalamualaikum semua..Kita semua tahu dan mengimani bahwa Allah yang menciptakan kita, Allah mencipta daripada makhluk paling komplek sehingga yang paling ringkas. Allah memberi rezki pada setiap makhluk itu serta memelihara setiap satunya.. SUBHANALLAH, Maha Kaya nya Dia.. Apabila kita renung diri sendiri belum tersingkap berapa banyak rahsia dan keajaiban ciptaanNya.. Allah telah memasukkan berbilion-bilion maklumat di dalam satu tempat kecil dalam tubuh kita sehinggakan kita tidak dapat melihatnya.


Kita pernah belajar di sekolah bahawa di dalam nukleus setiap sel, terdapat bahagian mengandungi DNA. DNA mengandungi semua maklumat tentang tubuh manusia. Semua data seperti warna rambut atau mata, organ dalaman kita, penampilan, ketinggian kita, disimpan di dalam DNA. Data-data ini dapat dikod menggunakan 4 bahan kimia dirujuk dengan menggunakan abjad A, T, G dan C. Setiap abjad mewakili nama setiap molekul. Keempat-empat bahan kimia ini disusun di dalam kombinasi berbeza dan dapat membentuk data berbeza. Kita dapat bandingkannya dengan satu abjad. Contohnya, terdapat 26 abjad di dalam bahasa Inggeris, dan kombinasi berbeza abjad-abjad ini membentuk perkataan yang berbeza. Terdapat banyak maklumat disimpan di dalam DNA ini.

Untuk mengambarkan betapa luasnya maklumat ini, kita lihat pada perbandingan berikut: Jika kita menulis semula semua maklumat yang terdapat di dalam DNA, kita akan mendapat sebuah perpustakaan besar 900 jilid, setiap satunya 500 muka surat. Perpustakaan ini adalah sebesar padang bola sepak. Tetapi, semua maklumat ini telah dipadatkan ke dalam sebuah molekul sangat halus hinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Sungguh ajaib!! Jika secara logik akal kita yang lemah ini, semakin banyak buku dalam perpustakaan tersebut, maka pastilah semakin besar perpustakaan itu. Tapi Allah dapat melakukan sebaliknya! Subhanallah!



Mari kita soal para penyokong evolusi yang mengatakan alam dan semua makhluk telah wujud tanpa sengaja dan tanpa Pencipta, siapakah yang memasukkan semua maklumat ini? Siapa yang mampu memasukkannya? Mereka tidak mempunyai pilihan melainkan meneruskan ayat biasa mereka, “Semuanya berlaku secara tidak sengaja?” Tetapi, mustahil perkara yang begitu sukar ini dapat berlaku secara kebetulan. Seperti yang telah dinyatakan di atas, data di dalam DNA ini mencukupi untuk memenuhi jilid-jilid yang memenuhi sebuah perpustakaan sebesar padang bola. Apabila kita melihat perpustakaan seperti ini, apakah kita percaya data-data yang terdapat di dalamnya telah ditulis secara tidak sengaja? Atau, apakah kita fikir ia ditulis oleh para ilmuwan dan profesor terpelajar dan kemudian diterbitkan oleh sebuah syarikat buku? Sudah tentu, pendapat yang kedua lebih tepat.


Tahukah persamaan dakwaan para penyokong evolusi ini? Ia seperti seseorang menyatakan, “Telah berlaku satu letupan di dalam kilang pencetakan dan semua jilid-jilid buku ini telah terbentuk dengan sendirinya”. Cuba bayangkan pula, ketika kita sedang duduk di meja , lalu terpandang satu halaman bertajuk “Ciri-ciri Geografi Dunia Ini”, dan bertanya kepada sahabat kita siapa yang menulis halaman ini, dia menjawab: “Tadi ada sebotol dakwat di atas kertas ini. Saya tidak sengaja menumpahkannya dan tulisan ini muncul!” Kita pasti akan memikirkan dia telah tersesat akal. Tetapi para penyokong evolusi mendakwa sesuatu yang lebih mustahil. Sebagaimana satu halaman tulisan tidak dapat ada tanpa seorang penulis, begitu juga sebuah databank seperti DNA tidak dapat terjadi dengan sendiri. Allah, Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana, yang mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja, yang mencipta langit dan bumi dan apa sahaja di antara keduanya, Dia jugalah yang menjadikan DNA.

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah Al-Baqarah:32)

Kartun Darwin, pengasas teori evolusi. Kartun ini menunjukkan teori evolusi telah dihancurkan.
Teori evolusi hari ini telah dibelasah teruk sama seperti Darwin di dalam kartun ini.



P/s: Di petik daripada buku Harun Yahya: Keajaiban cipataan Allah

Tuesday, September 29, 2009

Filem bukan sekadar filem


Menonton drama atau filem jenis penyiasatan memang menjadi pilihan saya sejak kecil lagi kerana ia banyak memberi maklumat selain menggerakkan otak saya untuk turut berfikir apabila sesuatu kes itu cuba diselesaikan oleh penyiasat. Kaedah yang digunakan dalam penyiasatan banyak memberi info kepada orang awam seperti saya. Drama dan filem jenis ini bagi saya adalah seperti serampang dua mata kerana selain menyalurkan maklumat mengenai kaedah terkini yang digunakan dalam masa yg sama mereka mempamerkan kehebatan teknologi sesebuah Negara kepada orang ramai.

Ya, memang mereka berjaya kerana apabila selesai menonton pasti penonton akan mengulas kecanggihan kaedah yang digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu penyiasatan sekaligus menimbulkan rasa kagum penonton kepada sesebuah Negara.

Ini menunjukkan bahawa filem dan drama sangat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan mendidik masyarakat. Tempang industri filem, rongaklah sesebuah masyarakat kerana masyarakat sekarang banyak bergurukan televisyen sama ada dalam pergaulan, pakaian dan pemikiran terutama generasi muda pelapis negara.

Cubalah anda lihat sekeliling, berapa kerat manusia yang menadah ilmu di Masjid berbanding yang mencedok budaya di panggung wayang? Anak-anak muda lebih berahi menghadap televisyen berbanding beriktikaf di masjid. Kerana itu,lebih ramai pengarah muslim yang kreatif patut dilahirkan. Atau mungkin, para cerdik pandai patut turun padang dengan mencurahkan ilmu mereka melalui filem dan drama. Hal ini tidak mustahil jika kerajaan bersungguh-sungguh mahu mendidik masyarakat kerana kerajaan boleh memperuntukkan sejumlah dana untuk tujuan itu.


Mungkin sukar pada peringkat awalnya untuk mengajak masyarakat menonton filem yang mendidik kerana mereka lebih gemar yang berbentuk hiburan yang melekakan. Di sini saya nampak peranan ibu dan bapa dalam membentuk budaya di rumah. Jika anak-anak begitu suka menonton filem,cuba tukarkan dan pilih filem yang berunsur pendidikan dan maklumat moga kegemaran itu dapat memberi manfaat kepada anak-anak.



Sungguh, Malaysia ketandusan filem yang memberi maklumat yang sihat dan berguna, banyak yang dihidangkan hanyalah realiti kebobrokan masyarakat yang bagi saya tidak perlu di ulang tayang dalam filem,kerana ia adalah realiti yang kita dapat tonton secara 'life' dalam masyarakat kita. Malah bagi saya filem yg sebegini banyak mendidik anak-anak kecil yang belum memahami realiti dalam masyarakat untuk mengikut perbuatan tidak senonoh yang diajar dalam filem itu. Golongan permata harapan negara inilah yang bakal terkena tempias kecelaruan karakter akibat bergurukan filem realiti itu.

Dikhuatiri mereka akan meneruskan budaya itu sepanjang perjalanan mereka menuju kedewasaan. Cuba bayangkan bagaimana mereka memimpin negara suatu ketika nanti? Maka selamanyalah budaya ini akan hidup dalam Negara kita apabila filem tidak pernah berhenti mendidik masyarakat menjiwai watak yang menyimpang dari islam dan jauh dari Allah.

Tanyalah pada diri, apa peranan kita pula?

Monday, September 28, 2009

Alarm Me!!



Pesanan ini kutujukan untuk diriku dan sahabat-sahabatku yang insyaALLAH mencintai Allah dan rasulNya,

kerana cinta itu dapat kalahkan segalanya dan membuat manusia mengikut pandangan Allah dari pandangan manusia.

Wahai yang kerap mengisi hati dengan cinta selainNya,
kemudilah hati agar tak terisi oleh cinta dunia dan laksanakanlah amalan berlandaskan ikhlas kepadaNya.

Buat sahabtku yang masih memiliki nur Iman dan islam,
jangan biarkan Nur itu suram dan malap,
terus pelihara cahaya itu.

Yamuqallibal Qulb,
thabatkan hati kami pada agamaMu dan ketaatan kepadaMu
Amiieen..

p/s: kredit buat sahabat yang mengirim pesanan ini, ia sungguh bemakna buat diri yang sedang diuji..syukron laka..

Syurga Cinta




Syurga cinta,sebuah filem yang bagi saya banyak persamaannya dengan filem Indonesia Kiamat makin hampir. Beza yang saya nampak, gadis dalam filem Indonesia itu, kurang ditonjolkan berbanding filem melayu di mana watak cikgu Syuhadah begitu menonjol dan banyak dialognya.. Bukan itu yang saya mahu perkatakan di sini, cukuplah dengan begitu banyak ulasan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Dalam filem tersebut terdapat dialog atuk Syuhada dengan Irham (watak utama lelaki) yang antaranya atuk itu menyebut ayat lebih kurang begini:

Jodoh itu ada 3:

1. Jodoh dari syaitan iaitu apabila kamu mencintai seorang perempuan, lalu kamu bercinta dan berzina dengannya sehingga mengandung, baru kamu nikahinya

2. Jodoh dari jin iaitu apabila kamu mencintai seseorang tetapi ia sebaliknya, lalu kamu bomohkan sehingga ia pun mencintai kamu dan menikahimu

3. Jodoh dari Allah, iaitu apabila kamu memandangnya dan jatuh cinta kemudian terus kamu meminangnya dan menikahinya.

Dalam kereta saya mngulangi ayat-ayat itu kepada adik-adik saya yang saya kasihi. Lalu yang lelaki merespon:

“Kalau jatuh cinta awal, macam mana? “

Sedaya upaya saya menjawab

“Kalau betul sukakannya, tunggu sehingga masa yang tepat tiba baharu masuk meminang dan menikah”

Ia membalas lagi

“Imam Nawawi pernah cakap, bercinta itu harus, tapi dengan syarat menjaga syarak”

“Haa..itu yang penting MENJAGA SYARAK.. kalau berjumpa berdua-duaan lelaki perempuan, mengikut syarak ke?? Perlu ada mahram yang ikut dan teman.”

Saya cuba memberi alternatif, mereka diam mungkin melawan dengan kehendak hati atau mungkin tidak terkesan di hati.. kemudian di akhir bicara adikku mengulang kata-kata imam Nawawi:

“Aku mencintaimu kerana agama dalam dirimu,

Jika hilang agama itu maka hilanglah cintaku padamu”

Saya membisik dalam hati, masih adakah adam di luar sana yang tulus mencintai hawa kerana agamanya? Saya meraba kata hati sendiri, adakah saya juga bisa mencintai seorang adam hanya kerana agamanya?

Betapa besar mujahadah yang perlu dilalui untuk mencapai tahap itu Hanya Allah jua yang bisa memberi kekuatan dan hidayah,





Adik-adikku,

Mengertilah, kakakmu bukan ingin memusnahkan cinta yang sedang mekar di hatimu itu,

Cuma kegusaran ini memang wajar ku dendangkan,

Tidakkah kau melihat wahai adikku,

Berapa ramai mereka yang terperosok di lembah hina hanya kerana cinta nafsu yang kotor,

Berapa banyak yang melupakan Allah dan agama apabila mencintai dan dicintai tanpa batas syariat,

Adik-adik yang kukasihi,

Kakakmu bimbang jika cinta itu akan memudarkan cintamu pada Allah,Rasulullah,umi dan abi..

Mengapa engkau menbaja pada tanah yang bukan hakmu?

Mereka yang engkau cintai itu bukanlah milikmu, selagi belum diikat dengan pernikahan

Mereka dan kamu adalah milik Allah.

Adik-adik yang kusayangi,

Adakah kau tidak yakin dengan janji Allah bahawa setiap orang itu ada jodohnya.

Jika benar ia jodohmu, yang kau rasakan telah ditulis untukmu,

tunggulah sehingga masa yang sesuai dan kemudian nikahinya

Supaya terjaga kesucian jiwa dan cintamu.

Supaya terpelihara maruah diri dan agamamu.

Adik-adikku,

Renungkanlah dengan mata hati

Tanya pada imanmu


Kakak mendoakan agar kalian mengecap manisnya cinta Allah dan meraih tenangnya jiwa yang dicintai Allah. semoga kalian memperolehi syurga cinta yang hakiki..

Our Long Journey

Daisypath Anniversary tickers

ShareThis

Need He