Saturday, February 27, 2010

Untukmu yang tersayang



Kalau boleh ku katakan, engkau adalah pelengkap hidupku wahai wanita bermata indah. Insan yang paling layak menerima cinta dan kasih sayangku. Wahai wanita, kau hadir dalam hidupku bagai bayu yang bertiup damai. Menenangkan jiwa yang galau dan mengubat kesunyian yang bersarang. Kau adalah anugerah daripada Allah yang akan sentiasa ku syukuri dan ku hargai. Ketika kau sudi menerima huluran tanganku untuk sama-sama melangkah menelusuri padang pasir kehidupan, aku berjanji untuk tidak sesekali mensia-siakan dirimu. Tanganmu yang halus sudah cukup menggagahkan aku untuk terus berdiri di jalan penuh ranjau ini. Kata-kata hikmah penuh bernilai dari bibirmu sudah cukup membuatkan aku merasa kuat untuk melangkah meneruskan perjuangan yang melelahkan.

Isteriku, engkau amat bermakna dalam hidupku, amat jarang bermasam muka biar ketika aku sedang lemah dan hampir jatuh. Kau sentiasa disisiku, bersedia memapahku walau dengan kudratmu yang sedikit. Bagiku kau adalah bidadari hidupku, yang sentiasa bersinar dengan cahaya keimanan. Nur di wajahmu, akan sentiasa melekat di hatiku dan tiada penggantinya. Aku merasa tenteram, setiap kali suara gemersikmu mengalunkan kalimah Allah, usai solat dhuhamu. Esak tangismu di kala hening malam, menjadi irama paling syahdu bagi diriku. Meruntun hatiku untuk sama-sama larut dalam tadabbur yang panjang.

Isteriku, bersamamu aku merasa semakin dekat dengan Allah, engkau tidak jemu untuk membangunkan aku di sepertiga malam untuk menghadap Allah. Membawaku ke tikar sejadah dan sama-sama menangis dalam sujud yang lama. Engkau tidak lalai dalam tanggungjawabmu di teratak kecil milik kita. Tidak pernah sekali pun aku merasakan kekurangan dalam keperluan hidupku. Kau sentiasa membuatkannya menjadi cukup biarpun dalam keadaan yang amat sederhana.

Isteriku,biarpun kau menanggung kesakitan yang tidak terperi ketika melahirkan zuriat kita, kau tetap menguntum senyuman terindah tatkala mendengar laungan azanku di telinga si kecil. Senyummu seolah-olah kau tidak pernah merasakan apa-apa kesakitan. Bertambah-tambah kasihku padamu ketika aku menyedari begitu perit kesakitan yang tidak dapat ku bayangkan itu. Kerana kesabaran dan kekuatan jiwamu, kau berjaya melalui kesakitan itu dengan hanya menyebut asma’ Allah. Aku akan sentiasa merasa malu untuk memarahi kerana kesalahan kecil yang kau lakukan, kerana setiap kali itu, aku terkenang seorang gadis mulus yang menerima hulur tanganku, menjagaku dengan baik serta sanggup merasa sakit untuk melahirkan zuriatku.

Isteriku, maafkan aku andai aku pernah meninggikan suaraku saat iblis merasuk hatiku, tangismu yang menghambur benar-benar meluluhkan hatiku. Maafkan aku andai engkau merasai kekurangan biarpun tidak pernah keluar sebuah keluhan daripadamu. Maafkan aku jika pernah aku menyakiti hatimu, aku tidak patut melakukannya pada seorang wanita yang sentiasa memelihara kehormatannya dan mengenalkan putera puteri ku kepada Allah dan Rasullullah selama aku pergi berjuang. Aku berjanji akan terus melindungimu, menjaga kehormatanmu dan cuba membahagiakanmu selagi hayat masih ada. Aku akan sentiasa menanam cinta Allah dan RasulNya dalam nubarimu serta zuriat kita. Aku akan cuba sedaya upayaku untuk menjadi suami dan ayah terbaik dalam hidup kalian. Akan ku tanam gagasan akhirat pada setiap pancang teratak ini hingga terpancar cahaya barokah menembusi langit ke tujuh.

Isteriku, jangan kau ragu untuk mengingatkan janji-janjiku ketika kau lihat aku mula memungkirinya kerana kau adalah pakaianku, dan aku adalah pakaianmu. Aku memohon kepada Allah agar kau tetapkan menjadi bidadariku hingga ke syurga. Sungguh, aku mencintaimu kerana agama yang ada pada dirimu dan aku meredhaimu dunia dan akhirat.

Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan aku isteri dan zuriat yang menyejukkan mata.


~Suamimu

No comments:

Post a Comment

We are not just selling a product, we are promoting a healthier lifestyle :)

Our Long Journey

Daisypath Anniversary tickers

ShareThis

Need He