Tuesday, October 27, 2009

Menghayati sujud

Sujud itu menundukkan dahi, tetapi

Memuliakan muslim yang bertakbir kepada Allah dan bertasbih padaNya

Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba

tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu

Di dalam kemuliaan sujud, semua akan tunduk kepada muslim yang sujud

Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya

Wajah dan seluruh anggotanya diletakkan di bumi


Tetapi dia menggoncangkan gunung-ganang
Meruntuhkan syirik, was-was di dalam diri si jahil

Tetapi membangunkan segala generasi dalam ketenangan
kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi

lantaran kehebatan dan kebesaranNya

Sujud kepada Allah dan mengesakanNya, lalu mantap dan kuat

Terhapuslah setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,

dia menikmati kepimpinan dan ketuanan

di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya

*Abdul Wahab Azam, Majalah al-Muslimun,

Monday, October 26, 2009

Welcome back!



"Welcome back to Terengganu",

SMS dari seorang sahabat pada hari pertama saya pulang ke Terengganu atas beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Siapa yang mengirim itu bukan perkara penting bagi saya, cuma disebalik ayat itu, terasa seperti Terengganu selalu merindui dan menanti saya dengan pelbagai ujian yang terbentang. Atau mungkin saya yang merindui Terengganu dan segala tentangnya. Ia bukanlah perkara luarbiasa, kerana di sini, medan saya menuntut ilmu, insya Allah jika masih berpeluang, saya masih di sini, menghirup udara pantai dan merasa kesat pasir pantai Tok Jembal yang merakam pelbagai memori suka dan duka.

Di sinilah juga tawa dan air mata saya tumpah. Pasir-pasir di pantai itu tak pernah menolak untuk mendengar keluh kesah dan berita gembira yang dilaungkan. Bunyi ombak seolah-olah alunan zikir yang menenteramkan setiap kali jiwa sedang galau dengan segala hal dunia. Sungguh, negeri ini akan tetap dalam nubari walau di mana pun saya kelak,insyaALLAH.

Friday, October 2, 2009

Surat untuk Adam


Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah hawa,temanmu yang kau pinta semasa kesunyian disyurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi,tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu. Sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dikala akhir zaman ini. Itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya,kerana andainya Allah mentakdirkan bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia ini dengan darah manusia. Kacau bilaulah suasana Adam sesama Adam bermusuh hanya kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil. Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya juga. Jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah Yang mengharuskan adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak melebihi empat orang dalam satu masa.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu membimbangkan daku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu merunsingkanku. Tetapi aku risau,gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Sejak dahulu lagi telah kuketahui bahawa seharusnya aku tunduk tatkala telah menjadi isterimu. Patutlah terlalu berat lidahku berbicara untuk menyatakan isi hati ini. Namun sebagai hamba Allah, Aku sayang padamu.

Adam,
Sebagaimana didalam Al-Quran telah menyatakan yang engkau diberi kuasa terhadap wanita. Kau diberi amanah mendidikku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku,memerhati dan mengawasiku agar redha Allah sentiasa menaungi. Tetapi Duhai Adam, lihatlah dunia kini.

Apa yang telah terjadi terhadap kaumku?

Kini, Aku dan kaumku telah ramai yang menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan. Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Dijalan-jalan,dipasar,di bandar-bandar bukanlah tempatku. Jika terpaksa,aku keluar dari rumah seluruh tubuhku ditutup dari hujung rambut sehingga kehujung kaki. Tapi realitinya kini, aku telah lebih dari yang sepatutnya.

Adam,
Mengapa kau biarkan daku begini? Sememangnya aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tetapi kini, aku jadi ibu,guru dan aku jugalah yang memikul senjata. Padahal engkau duduk sahaja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga dipejabat bomba. Kainku tinggi menyingsing peha,mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak seperti dahulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu kepadaku?

Adam,
Marahkah kau jika ku katakan terpesongnya hawa sekarang engkaulah yang harus dipersalahkan! Kenapa kau? Bukankah orang sering bicara, Jika anak jahat maka emak bapak yang tidak pandai mendidik, Jika murid bodoh,guru tidak pandai mengajar. Jadi secara formulanya, Aku binasa,kaulah puncanya!!!

Adam,
Kau selalu mengata, Hawa memang degil! Tidak mahu dengar kata! Tidak mudah makan nasihat! Kepala batu! Tetapi duhai Adam, Seharusnya kau bertanya kepada dirimu, Siapakah ikutanmu? Siapakah rujukanmu? Dalam mendidik aku yang lemah ini. Adakah ikutanmu Muhammad s.a.w? Adakah rujukanmu Muhammad s.a.w? Adakah akhlak-akhlakmu boleh dijadikan contoh buat kami kaum Hawa?

Adam,
Sebenarnya kaulah imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu-pengikutmu Kerana kaulah amir. Jika kau benar maka benarlah aku. Jika kau lalai,lalailah aku. Lupakah kau duhai Adam? Kau punya satu kelebihan anugerah Tuhan. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Dan aku, akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam,gunakanlah ketinggian akalmu untuk membimbingku.

Pimpinlah tanganku kerana aku sering lupa dan lalai. Seringkali aku tergelincir ditolak,disorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbing dan bantulah aku dalam menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari TuhanMu agar duniaku sentiasa dijalan rahmah. Tiupkanlah roh jihad ke dalam dadaku agar aku mampu tetap menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam,
Andainya kau masih lali dengan kerenahmu sendiri. Masih segan mengikut langkah para sahabat baginda. Masih gentar mencegah mungkar. Maka kita tunggu dan lihatlah dunia ini akan hancur bila aku yang memerintah. Malulah engkau Adam. Malulah engkau pada dirimu sendiri. Wallahualam.

By: Kerana Allah kasih tercipta

Thursday, October 1, 2009

Character designer 2

Saya masih ingat, semasa masih menuntut di matrikulasi Changlun, abi dan umi datang melawat semasa cuti hujung minggu,mereka bawa bersama surat panggilan temuduga untuk pengambilan guru lepasan SPM. Saya berkeras habis-habisan tidak mahu menghadiri temuduga itu kerana takut jika lulus saya akan menjadi seorang guru. Saya tidak tahu dari mana saya perolehi rasa fobia dengan kerjaya guru itu sehingga temuduganya pun saya tidak mahu cuba. Tapi, Allah Maha Berkuasa kerana Dia sudah takdirkan bahawa saya perlu belajar dan merasai bagaimana mendidik si khalifah cilik, lalu apabila mendapat tawaran sebagai guru ganti di sekolah kebangsaan Bukit Pinang, saya terus terima tanpa rasa fobia atau sebuah kerisauan. Dalam fikiran saya, inilah masanya saya menimba pengalaman dan meraih redhaNYA lagi pula sekolah ia bukan sekolah lain, ia tempat saya belajar dahulu. Saya cuba ikhlaskan hati pada setiap pagi sebelum ke sekolah kerana saya sedar, apabila sahaja menjejakkan kaki di sekolah, pelbagai dugaan akan bergilir menguji
keikhlasan di hati.
Saya diberi amanah untuk mengajar matematik bagi tahun2,3 dan 4 di samping matapelajaran lainnya. Semua kelas itu adalah kelas terakhir, awal-awal lagi guru-guru lain sudah memberi signal supaya tidak memberi muka kepada pelajar-pelajar ini kerana mereka sangat nakal. Selama seminggu saya di situ, keikhlasan saya teruji setiap kali berhadapan dengan kerenah anak-anak murid yang nakal, Mereka bising ketika saya mengajar dan hanya diam apabila dimarahi. Saya terfikir, beginikah saya dahulu? Kasihan guru-guru saya, terpaksa menjerit-jerit dan menanggung tekanan dengan kerenah kami. Baru saya tahu, bukan mudah menjadi guru yang mengajar dan mendidik. Susah, tak hairanlah kakak saya sering menangis kerana anak-anak muridnya. Menangis kerana terguris perasaan dan sekaligus kasihan meihat kurangnya didikan moral yang semestinya berkait rapat dengan agama.
Kebetulan ketika itu bulan Ramadhan
“Siapa yang berpuasa hari ini?”
Saya bertanya kepada semua murid tahun 4. Semua bersemangat mengangkat tangn tinggi-tinggi, sampai nampak pangkal lengan.
“Wahh,bagus ye,semua puasa. Hm siapa yang solat subuh pagi tadi?”
Semua tersengih-sengih, ada 2 orang yang mengangkat tangan penuh bangga.
“Aik? Cikgu hairan dengan kamu, kamu boleh puasa tapi solat subuh 2 rakaat kamu tak mampu?”
Mereka diam, saya merenung wajah-wajah kecil itu sambil berkata lagi
“Ingat apa yang cikgu cakap ni ya? Puasa itu wajib, tapi solat juga wajib. Jangan tinggalkan setengah dan buat setengah, tak lengkap jadinya, faham?”
“Faham ustazah, eh teacher!” saya sekadar tersenyum mendengar sasulan murid saya itu.
“Hm cikgu nak tanya, umur kamu semua berapa sekarang?”
“10 tahun!!” Mereka menjawab serentak.
“Ada tak ustazah atau ustaz yang beritahu, Rasulullah cakap apa kalau anak berumur 10 tahun tapi tak nak solat?”
“Tak dak pun..” ada dua tiga orang yang menjawab, yang lain terpinga-pinga.
“Cikgu rasa ada diberitahu tapi kamu tak ingat kot? Rasulullah s.a.w bersabda, kalau anakmu berumur 10 tahun tapi ia masih belum mahu bersolat, maka pukullah ia.” Diam,mereka memandang wajah saya menanti ayat seterusnya.
“Jadi,cikgu nak pukul sikit siapa yang tak solat pagi tadi..” aku melangkah menuju ke meja guru dan mahu mencapai rotan,bunyi bising sudah kedengaran di belakang.
“Hukuman yang cikgu beri ini hanya kecil berbanding hukuman Allah di neraka,kamu tak mahu masuk neraka bukan?” saya sekadar memukul tapak tangan mereka.
“Tak mahu!!” mereka menjawab serentak.
“Jadi, mulai esok, solat ya?” ada yang mengangguk-angguk,ada yang hanya memandang dengan pandangan kosong, dan ada yang sibuk berbual.
**************************************************************************************************
Itu antara apa yang saya sering ingatkan kepada murid-murid saya dalam setiap kelas. Satu ketika, saya mengajar kelas tahun 3, memberi tugasan kepada mereka untuk diselesaikan, kemudian saya lihat sekumpulan pelajar sedang mengerumuni sesuatu di belakang.
“Ehem..boleh cikgu tahu, apa yang kamu tengok di belakang tu?” saya melontar soalan kepada kumpulan itu, mereka begitu asyik sehingga saya tidak dipedulikan.
“Cikgu, depa tengah tengok anak sumpah-sumpah. Ada mak dia dalam almari kat belakang tu.”seorang murid yang duduk di hadapan bertentangan dengan saya membuka mulut, ia tambah lagi
“Cikgu, hari tu depa buat demo sembelih binatang guna sumpah-sumpah tu, ee.. “ mungkin ia masih terbayang bagaimana tercerai kepala sumpah-smpah itu dari badannya.
“Astaghfirullahalazim!!” saya agak terkejut dengan penyataan murid itu. Lalu bingkas bangun menuju ke arah kumpulan murid di belakang itu. Nampak sahaja saya menuju ke arah mereka, terus bertempiaran.
“Mana kamu dapat sumpah-sumpah ni? Hari tu tikus,hari sumpah-sumpah esok apa pula? Siapa yang rajin sangat tangkap binatang-binatang ni?” saya melihat anak sumpah-sumpah yang kelihatan tidak bermaya dipermainkan oleh mereka.
“Cikgu tahu siapa punya kerja semua ini,” Saya mencari wajah yang cuba berselindung.
“Nik, kamu kan?” dia tersengih,kawan-kawan lain sibuk mengangguk.
“Kamu suka binatang ye Nik? Kamu jadilah pegawai perhilitan nanti, tapi sebelum tu kena belajar rajin-rajin. Kamu tahu tak perbuatan kamu menganiaya binatang. Kamu pisahkan dia dari ibunya. Allah tak suka Rasulullah larang. Kenapa kamu sembelih anak sumpah-sumpah?”
Saya cuba bersuara dengan nada yang lembut seolah-olah memujuk.
“Hm.. saya tengok ayah sembelih lembu,saya nak buat ayah tak bagi, saya cuba kat sumpah-sumpah tu”
Memang saya sudah agak,pasti ia telah melihat dan ingin melakukannya. Memang begitu fitrah kanak-kanak yang sedang belajar,
“Ok,dengar sini ye, kalu kita bunuh binatang bukan untuk di makan,itu namanya menganiaya. Baguslah,kamu mahu belajar, tapi kamu patut guna binatang yang boleh dimakan, macam burung ke ayam ke, dengan syarat burung dan ayam tu bukan hak orang lain. Nanti balik rumah beritahu ayah, kamu mahu belajar cara sembelih yang betul,mesti ayah kamu nak ajar. Faham?”
Nik mengangguk-angguk sambil tersenyum.
“Dah,sekarang pergi lepaskan semula binatang yang kamu tangkap dan kurung dalam almari tu”
Dia dan tiga orang rakannya yang lain mula mengambil sumpah-sumpah itu dan turun ke tingkat bawah untuk melepaskannya semula. Saya hanya mampu tersenyum.
***********************************************************************************************
Di waktu yang lain, saya masuk kelas tahun 2, ketika sedang mengajar, seorang murid perempuan datang menghampiri saya dengan wajah mendung bersalut duka. Mungkin hatinya sedang terluka.
“Cikgu, dia kata kakak saya orang siam.” Dia menarik siku saya cuba membawa saya kepada seorang murid perempuan lain.
“Kenapa kalau kakak kamu orang siam?”. Saya memandang wajah kedua-duanya silih berganti.
“Dia tak mau kawan dengan saya..” ada getar sebak di hujung ayatnya.
“Kenapa kalau dia orang siam,kamu tak boleh berkawankah? Kawan kamu ikhlas, tak kira dia orang apa pun, kamu kena berbaik-baik sebab kita orang islam walaupun lain bangsa.” Murid yang lagi seorang itu hanya mengangguk-angguk mungkin masih kaget dengan tindakan kawannya mengambil saya sebagai orang tengah.
“Ya,ya cikgu saya nak kawan dengan dia.” Dia tersenyum sipu. Murid yang hampir menangis tadi ,mula bersinar wajahnya.
“Ha, macam tu lah, baru seronok kawan ramai. Dah, jangan gaduh-gaduh lagi,sekarang salam kawan kamu”
Kedua-dua mereka bersalaman dengan senyuman yang melebar. Kemudian,saya sambung semula pengajaran.
Walaupun hanya 5 jam dalam sehari saya di sekolah, banyak lagi peristiwa yang berlaku yang tak tertulis di sini kerana itu bagi saya, sekolah bukan hanya tempat untuk mereka belajar , di sana, mereka merasai segala rempah yang terkandung dalam sebuah kehidupan. Yang nantinya rempah ratus itulah digunakan sepanjang perjalanan mereka menuju alam kedewasaan. Jika kita salah memberi ramuan, tidak mustahil suatu hari kelak, mereka akan mati keracunan di pertengahan jalan atau lebih buruk lagi mereka mewariskan ramuan beracun itu kepada generasi yang seterusnya.
Mereka legasi kita, bentuklah dengan acuan Allah, supaya kelak, mereka menjadi pembela bukan penentang agama.
Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah HAMBA “ (Al-Baqarah : 138)

Our Long Journey

Daisypath Anniversary tickers

ShareThis

Need He