Monday, November 16, 2009

Sama tapi tak serupa



Pada awal saya menonton drama ini, sangka saya, apa yang cuba diketengahkan adalah perwatakan orang yang berilmu agama adalah kasar,malas dan hipokrit. Saya geram dengan sikap Nurjani yang celik agama namun amat berkasar dengan isteri dan sesiapa sahaja orang-orang disekelilingnya, watak Nusri yang sambil lewa dalam pekerjaannya dan watak adik kepada Nusri yang berlagak alim kononnya ke masjid walhal menghisap ganja. Manakala keluarga fasha sandha pula kaya raya, selalu membuat kebajikan,keluarga yang penuh kasih sayang tetapi jahil dan jauh dari jalan Allah. Mereka minum arak dan bersosial melampau batasan.
Klimaks kepada cerita ini adalah apabila Fasha berdoa dengan penuh pasrah ketika ia cuba dirogol oleh adik Nusri. Dengan takdirNya, kilat menyambar dahan pokok yang menyebabkan terbunuhnya adik Nusri. Peristiwa ini berjaya menyentuh hati Fasha untuk berubah dan mengubah cara hidupnya dan keluarganya. Begitu juga dengan Nurjani,bapa kepada Nusri ia mula sedar dan ingin megubah akhlaknya. Drama ini memberi mesej yang saya kira jelas iaitu, semua manusia sama kerana tidak lepas daripada melakukan kesilapan tidak kira berilmu atau jahil cuma bagaimana cara dosa mereka dilakukan mungkin tidak serupa. Satu golongan mungkin berilmu namun dosanya banyak dari sudut tidak berakhlak manakala satu golongan pula jahil, dosanya banyak dari sudut amalan.
Semuanya menyimpulkan satu persoalan “ Bagaimanakah seorang mukmin yang ideal?”
Bagi saya mukmin ideal adalah apabila seorang muslim itu melakukan segala suruhan dan meninggalkan larangan Allah, mereka berakhlak mulia serta bersungguh-sungguh dalam apa sahaja perkara yang dilakukan. Memiliki keselesaan duniawi tanpa melupakan gagasan akhiratnya. Alangkah indahnya jika kita memiliki semua ciri-ciri ini. Untuk mencapai ciri pertama sahaja sudah sukar iaitu melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah. Suruhan Allah yang termaktub dalam al-quran seperti solat,puasa,menutup aurat,amar makruf nahi munkar dan lain-lain lagi apakah telah kita penuhi dengan sedaya upaya kita? Ataukah kita hanya melakukan dengan sambil lewa dan tidak sepenuh hati? Tiada penghayatan dan hanya sekadar memenuhi tuntutan?
Saya teringat, seorang tokoh pernah menyebut ketika bertemu dengan pelajar-pelajar luar Negara, “Ada segolongan pelajar yang sibuk berdemonstrasi dan berdakwah sehingga bilik kuliah dan perpustakaan menjadi kosong. Mereka hebat dalam bersuara dan berhujah namun memiliki gred yang rendah dalam akademik”. Apakah kita hanya mempunyai pilihan untuk mengakui kenyataan itu? Tidak! Kita mesti buktikan, pelajar yang peka dengan isu sekelilingnya dan dakwah tidak pernah lalai dengan amanah ilmu yang dipikul. Kita mampu berusaha dan menjadi yang terbaik di antara yang terbaik. Kita boleh buktikan, bahawa dakwah tidak pernah menjadi penyebab lemahnya akademik kita. Namun kita tidak bersungguh-sungguh.
Tidakkah kita merasa malu apabila kita telah berjanji dengan Allah untuk menyeru kepada kebenaran dalam masa yang sama kita mencampurkan kebatilan dalam usaha kita. Sikap mengambil mudah dan sambil lewa dalam menjauhi larangan Allah adalah nanah yang boleh menjadi barah pembunuh. Ia bakal memusnahkan organisasi dan ahli-ahlinya sedikit demi sedikit . Hingga suatu masa kelak yang tinggal hanya sekumpulan lelaki dan perempuan yang berkumpul untuk saling mngenali dalam satu organisasi,mereka lupa tujuan mereka berkumpul dan cara yang benar untuk mencapai tujuan mereka. Nauzubillah. Apakah kita mahu mengotori jalan-lajan dakwah yng suci ini?. Sudahkah kita lupa dengan peringatan Allah dalam al-quran
“Janganlah kamu mencampurkan adukkan haq dan batil. Dan janganlah kamu sembunyikan yang haq itu sedang kamu mengetahui”
(Al-Baqarah:42)
Haq dan batil tidak akan beriringan kecuali salah satunya mesti ditanggalkan samada haq ataupun batil. Saya menyeru kepada diri sendiri dan semua sahabat-sahabat,kembalilah kepada al-quran dan sunnah dalam apa juga perkara yang kita lakukan terutama apabila kita menggelarkannya kerja-kerja di jalan Allah. Jangan memandang remeh setiap laranganNya walaupun kecil kerana mungkin ianya perkara besar di sisi Allah.
Wallahua’lam.

Tuesday, October 27, 2009

Menghayati sujud

Sujud itu menundukkan dahi, tetapi

Memuliakan muslim yang bertakbir kepada Allah dan bertasbih padaNya

Si jahil menyangkanya belenggu ke atas hamba

tetapi sujudlah yang memusnahkan segala belenggu

Di dalam kemuliaan sujud, semua akan tunduk kepada muslim yang sujud

Seluruh alam takut kepada kata-kata dan perbuatannya

Wajah dan seluruh anggotanya diletakkan di bumi


Tetapi dia menggoncangkan gunung-ganang
Meruntuhkan syirik, was-was di dalam diri si jahil

Tetapi membangunkan segala generasi dalam ketenangan
kerana hati ada perjalanan yang menundukkan bumi

lantaran kehebatan dan kebesaranNya

Sujud kepada Allah dan mengesakanNya, lalu mantap dan kuat

Terhapuslah setiap penzalim yang sombong

Barangsiapa menghayati sujud ini,

dia menikmati kepimpinan dan ketuanan

di muka bumi, dengan keagungannya, rahmat dan keindahannya

*Abdul Wahab Azam, Majalah al-Muslimun,

Monday, October 26, 2009

Welcome back!



"Welcome back to Terengganu",

SMS dari seorang sahabat pada hari pertama saya pulang ke Terengganu atas beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Siapa yang mengirim itu bukan perkara penting bagi saya, cuma disebalik ayat itu, terasa seperti Terengganu selalu merindui dan menanti saya dengan pelbagai ujian yang terbentang. Atau mungkin saya yang merindui Terengganu dan segala tentangnya. Ia bukanlah perkara luarbiasa, kerana di sini, medan saya menuntut ilmu, insya Allah jika masih berpeluang, saya masih di sini, menghirup udara pantai dan merasa kesat pasir pantai Tok Jembal yang merakam pelbagai memori suka dan duka.

Di sinilah juga tawa dan air mata saya tumpah. Pasir-pasir di pantai itu tak pernah menolak untuk mendengar keluh kesah dan berita gembira yang dilaungkan. Bunyi ombak seolah-olah alunan zikir yang menenteramkan setiap kali jiwa sedang galau dengan segala hal dunia. Sungguh, negeri ini akan tetap dalam nubari walau di mana pun saya kelak,insyaALLAH.

Friday, October 2, 2009

Surat untuk Adam


Adam,
Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah hawa,temanmu yang kau pinta semasa kesunyian disyurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi,tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu. Sentiasa mahu terpesong dari landasan kerana aku buruan syaitan.

Adam,
Maha suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai bilangannya dari kaummu dikala akhir zaman ini. Itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam urusannya,kerana andainya Allah mentakdirkan bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia ini dengan darah manusia. Kacau bilaulah suasana Adam sesama Adam bermusuh hanya kerana Hawa.

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil. Sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya juga. Jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah Yang mengharuskan adam beristeri lebih dari satu tetapi tidak melebihi empat orang dalam satu masa.

Adam,
Bukan kerana ramainya isterimu membimbangkan daku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu merunsingkanku. Tetapi aku risau,gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Sejak dahulu lagi telah kuketahui bahawa seharusnya aku tunduk tatkala telah menjadi isterimu. Patutlah terlalu berat lidahku berbicara untuk menyatakan isi hati ini. Namun sebagai hamba Allah, Aku sayang padamu.

Adam,
Sebagaimana didalam Al-Quran telah menyatakan yang engkau diberi kuasa terhadap wanita. Kau diberi amanah mendidikku. Kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku,memerhati dan mengawasiku agar redha Allah sentiasa menaungi. Tetapi Duhai Adam, lihatlah dunia kini.

Apa yang telah terjadi terhadap kaumku?

Kini, Aku dan kaumku telah ramai yang menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari jalan yang telah ditetapkan. Asalnya Allah mengkehendaki aku tinggal tetap dirumah. Dijalan-jalan,dipasar,di bandar-bandar bukanlah tempatku. Jika terpaksa,aku keluar dari rumah seluruh tubuhku ditutup dari hujung rambut sehingga kehujung kaki. Tapi realitinya kini, aku telah lebih dari yang sepatutnya.

Adam,
Mengapa kau biarkan daku begini? Sememangnya aku ibu dan guru kepada anak-anakmu. Tetapi kini, aku jadi ibu,guru dan aku jugalah yang memikul senjata. Padahal engkau duduk sahaja. Ada diantara kau yang menganggur tiada kerja. Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga dipejabat bomba. Kainku tinggi menyingsing peha,mengamankan Negara. Apakah kau sekarang tidak seperti dahulu? Apakah sudah hilang kasih sucimu kepadaku?

Adam,
Marahkah kau jika ku katakan terpesongnya hawa sekarang engkaulah yang harus dipersalahkan! Kenapa kau? Bukankah orang sering bicara, Jika anak jahat maka emak bapak yang tidak pandai mendidik, Jika murid bodoh,guru tidak pandai mengajar. Jadi secara formulanya, Aku binasa,kaulah puncanya!!!

Adam,
Kau selalu mengata, Hawa memang degil! Tidak mahu dengar kata! Tidak mudah makan nasihat! Kepala batu! Tetapi duhai Adam, Seharusnya kau bertanya kepada dirimu, Siapakah ikutanmu? Siapakah rujukanmu? Dalam mendidik aku yang lemah ini. Adakah ikutanmu Muhammad s.a.w? Adakah rujukanmu Muhammad s.a.w? Adakah akhlak-akhlakmu boleh dijadikan contoh buat kami kaum Hawa?

Adam,
Sebenarnya kaulah imam dan aku adalah makmummu. Aku adalah pengikutmu-pengikutmu Kerana kaulah amir. Jika kau benar maka benarlah aku. Jika kau lalai,lalailah aku. Lupakah kau duhai Adam? Kau punya satu kelebihan anugerah Tuhan. Akalmu sembilan, nafsumu satu. Dan aku, akalku satu nafsuku beribu! Dari itu Adam,gunakanlah ketinggian akalmu untuk membimbingku.

Pimpinlah tanganku kerana aku sering lupa dan lalai. Seringkali aku tergelincir ditolak,disorong oleh nafsu dan kuncu-kuncunya. Bimbing dan bantulah aku dalam menyelami kalimah Allah. Perdengarkanlah daku kalimah syahdu dari TuhanMu agar duniaku sentiasa dijalan rahmah. Tiupkanlah roh jihad ke dalam dadaku agar aku mampu tetap menjadi mujahidah kekasih Allah.

Adam,
Andainya kau masih lali dengan kerenahmu sendiri. Masih segan mengikut langkah para sahabat baginda. Masih gentar mencegah mungkar. Maka kita tunggu dan lihatlah dunia ini akan hancur bila aku yang memerintah. Malulah engkau Adam. Malulah engkau pada dirimu sendiri. Wallahualam.

By: Kerana Allah kasih tercipta

Thursday, October 1, 2009

Character designer 2

Saya masih ingat, semasa masih menuntut di matrikulasi Changlun, abi dan umi datang melawat semasa cuti hujung minggu,mereka bawa bersama surat panggilan temuduga untuk pengambilan guru lepasan SPM. Saya berkeras habis-habisan tidak mahu menghadiri temuduga itu kerana takut jika lulus saya akan menjadi seorang guru. Saya tidak tahu dari mana saya perolehi rasa fobia dengan kerjaya guru itu sehingga temuduganya pun saya tidak mahu cuba. Tapi, Allah Maha Berkuasa kerana Dia sudah takdirkan bahawa saya perlu belajar dan merasai bagaimana mendidik si khalifah cilik, lalu apabila mendapat tawaran sebagai guru ganti di sekolah kebangsaan Bukit Pinang, saya terus terima tanpa rasa fobia atau sebuah kerisauan. Dalam fikiran saya, inilah masanya saya menimba pengalaman dan meraih redhaNYA lagi pula sekolah ia bukan sekolah lain, ia tempat saya belajar dahulu. Saya cuba ikhlaskan hati pada setiap pagi sebelum ke sekolah kerana saya sedar, apabila sahaja menjejakkan kaki di sekolah, pelbagai dugaan akan bergilir menguji
keikhlasan di hati.
Saya diberi amanah untuk mengajar matematik bagi tahun2,3 dan 4 di samping matapelajaran lainnya. Semua kelas itu adalah kelas terakhir, awal-awal lagi guru-guru lain sudah memberi signal supaya tidak memberi muka kepada pelajar-pelajar ini kerana mereka sangat nakal. Selama seminggu saya di situ, keikhlasan saya teruji setiap kali berhadapan dengan kerenah anak-anak murid yang nakal, Mereka bising ketika saya mengajar dan hanya diam apabila dimarahi. Saya terfikir, beginikah saya dahulu? Kasihan guru-guru saya, terpaksa menjerit-jerit dan menanggung tekanan dengan kerenah kami. Baru saya tahu, bukan mudah menjadi guru yang mengajar dan mendidik. Susah, tak hairanlah kakak saya sering menangis kerana anak-anak muridnya. Menangis kerana terguris perasaan dan sekaligus kasihan meihat kurangnya didikan moral yang semestinya berkait rapat dengan agama.
Kebetulan ketika itu bulan Ramadhan
“Siapa yang berpuasa hari ini?”
Saya bertanya kepada semua murid tahun 4. Semua bersemangat mengangkat tangn tinggi-tinggi, sampai nampak pangkal lengan.
“Wahh,bagus ye,semua puasa. Hm siapa yang solat subuh pagi tadi?”
Semua tersengih-sengih, ada 2 orang yang mengangkat tangan penuh bangga.
“Aik? Cikgu hairan dengan kamu, kamu boleh puasa tapi solat subuh 2 rakaat kamu tak mampu?”
Mereka diam, saya merenung wajah-wajah kecil itu sambil berkata lagi
“Ingat apa yang cikgu cakap ni ya? Puasa itu wajib, tapi solat juga wajib. Jangan tinggalkan setengah dan buat setengah, tak lengkap jadinya, faham?”
“Faham ustazah, eh teacher!” saya sekadar tersenyum mendengar sasulan murid saya itu.
“Hm cikgu nak tanya, umur kamu semua berapa sekarang?”
“10 tahun!!” Mereka menjawab serentak.
“Ada tak ustazah atau ustaz yang beritahu, Rasulullah cakap apa kalau anak berumur 10 tahun tapi tak nak solat?”
“Tak dak pun..” ada dua tiga orang yang menjawab, yang lain terpinga-pinga.
“Cikgu rasa ada diberitahu tapi kamu tak ingat kot? Rasulullah s.a.w bersabda, kalau anakmu berumur 10 tahun tapi ia masih belum mahu bersolat, maka pukullah ia.” Diam,mereka memandang wajah saya menanti ayat seterusnya.
“Jadi,cikgu nak pukul sikit siapa yang tak solat pagi tadi..” aku melangkah menuju ke meja guru dan mahu mencapai rotan,bunyi bising sudah kedengaran di belakang.
“Hukuman yang cikgu beri ini hanya kecil berbanding hukuman Allah di neraka,kamu tak mahu masuk neraka bukan?” saya sekadar memukul tapak tangan mereka.
“Tak mahu!!” mereka menjawab serentak.
“Jadi, mulai esok, solat ya?” ada yang mengangguk-angguk,ada yang hanya memandang dengan pandangan kosong, dan ada yang sibuk berbual.
**************************************************************************************************
Itu antara apa yang saya sering ingatkan kepada murid-murid saya dalam setiap kelas. Satu ketika, saya mengajar kelas tahun 3, memberi tugasan kepada mereka untuk diselesaikan, kemudian saya lihat sekumpulan pelajar sedang mengerumuni sesuatu di belakang.
“Ehem..boleh cikgu tahu, apa yang kamu tengok di belakang tu?” saya melontar soalan kepada kumpulan itu, mereka begitu asyik sehingga saya tidak dipedulikan.
“Cikgu, depa tengah tengok anak sumpah-sumpah. Ada mak dia dalam almari kat belakang tu.”seorang murid yang duduk di hadapan bertentangan dengan saya membuka mulut, ia tambah lagi
“Cikgu, hari tu depa buat demo sembelih binatang guna sumpah-sumpah tu, ee.. “ mungkin ia masih terbayang bagaimana tercerai kepala sumpah-smpah itu dari badannya.
“Astaghfirullahalazim!!” saya agak terkejut dengan penyataan murid itu. Lalu bingkas bangun menuju ke arah kumpulan murid di belakang itu. Nampak sahaja saya menuju ke arah mereka, terus bertempiaran.
“Mana kamu dapat sumpah-sumpah ni? Hari tu tikus,hari sumpah-sumpah esok apa pula? Siapa yang rajin sangat tangkap binatang-binatang ni?” saya melihat anak sumpah-sumpah yang kelihatan tidak bermaya dipermainkan oleh mereka.
“Cikgu tahu siapa punya kerja semua ini,” Saya mencari wajah yang cuba berselindung.
“Nik, kamu kan?” dia tersengih,kawan-kawan lain sibuk mengangguk.
“Kamu suka binatang ye Nik? Kamu jadilah pegawai perhilitan nanti, tapi sebelum tu kena belajar rajin-rajin. Kamu tahu tak perbuatan kamu menganiaya binatang. Kamu pisahkan dia dari ibunya. Allah tak suka Rasulullah larang. Kenapa kamu sembelih anak sumpah-sumpah?”
Saya cuba bersuara dengan nada yang lembut seolah-olah memujuk.
“Hm.. saya tengok ayah sembelih lembu,saya nak buat ayah tak bagi, saya cuba kat sumpah-sumpah tu”
Memang saya sudah agak,pasti ia telah melihat dan ingin melakukannya. Memang begitu fitrah kanak-kanak yang sedang belajar,
“Ok,dengar sini ye, kalu kita bunuh binatang bukan untuk di makan,itu namanya menganiaya. Baguslah,kamu mahu belajar, tapi kamu patut guna binatang yang boleh dimakan, macam burung ke ayam ke, dengan syarat burung dan ayam tu bukan hak orang lain. Nanti balik rumah beritahu ayah, kamu mahu belajar cara sembelih yang betul,mesti ayah kamu nak ajar. Faham?”
Nik mengangguk-angguk sambil tersenyum.
“Dah,sekarang pergi lepaskan semula binatang yang kamu tangkap dan kurung dalam almari tu”
Dia dan tiga orang rakannya yang lain mula mengambil sumpah-sumpah itu dan turun ke tingkat bawah untuk melepaskannya semula. Saya hanya mampu tersenyum.
***********************************************************************************************
Di waktu yang lain, saya masuk kelas tahun 2, ketika sedang mengajar, seorang murid perempuan datang menghampiri saya dengan wajah mendung bersalut duka. Mungkin hatinya sedang terluka.
“Cikgu, dia kata kakak saya orang siam.” Dia menarik siku saya cuba membawa saya kepada seorang murid perempuan lain.
“Kenapa kalau kakak kamu orang siam?”. Saya memandang wajah kedua-duanya silih berganti.
“Dia tak mau kawan dengan saya..” ada getar sebak di hujung ayatnya.
“Kenapa kalau dia orang siam,kamu tak boleh berkawankah? Kawan kamu ikhlas, tak kira dia orang apa pun, kamu kena berbaik-baik sebab kita orang islam walaupun lain bangsa.” Murid yang lagi seorang itu hanya mengangguk-angguk mungkin masih kaget dengan tindakan kawannya mengambil saya sebagai orang tengah.
“Ya,ya cikgu saya nak kawan dengan dia.” Dia tersenyum sipu. Murid yang hampir menangis tadi ,mula bersinar wajahnya.
“Ha, macam tu lah, baru seronok kawan ramai. Dah, jangan gaduh-gaduh lagi,sekarang salam kawan kamu”
Kedua-dua mereka bersalaman dengan senyuman yang melebar. Kemudian,saya sambung semula pengajaran.
Walaupun hanya 5 jam dalam sehari saya di sekolah, banyak lagi peristiwa yang berlaku yang tak tertulis di sini kerana itu bagi saya, sekolah bukan hanya tempat untuk mereka belajar , di sana, mereka merasai segala rempah yang terkandung dalam sebuah kehidupan. Yang nantinya rempah ratus itulah digunakan sepanjang perjalanan mereka menuju alam kedewasaan. Jika kita salah memberi ramuan, tidak mustahil suatu hari kelak, mereka akan mati keracunan di pertengahan jalan atau lebih buruk lagi mereka mewariskan ramuan beracun itu kepada generasi yang seterusnya.
Mereka legasi kita, bentuklah dengan acuan Allah, supaya kelak, mereka menjadi pembela bukan penentang agama.
Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah HAMBA “ (Al-Baqarah : 138)

Wednesday, September 30, 2009

Miracle library

Assalamualaikum semua..Kita semua tahu dan mengimani bahwa Allah yang menciptakan kita, Allah mencipta daripada makhluk paling komplek sehingga yang paling ringkas. Allah memberi rezki pada setiap makhluk itu serta memelihara setiap satunya.. SUBHANALLAH, Maha Kaya nya Dia.. Apabila kita renung diri sendiri belum tersingkap berapa banyak rahsia dan keajaiban ciptaanNya.. Allah telah memasukkan berbilion-bilion maklumat di dalam satu tempat kecil dalam tubuh kita sehinggakan kita tidak dapat melihatnya.


Kita pernah belajar di sekolah bahawa di dalam nukleus setiap sel, terdapat bahagian mengandungi DNA. DNA mengandungi semua maklumat tentang tubuh manusia. Semua data seperti warna rambut atau mata, organ dalaman kita, penampilan, ketinggian kita, disimpan di dalam DNA. Data-data ini dapat dikod menggunakan 4 bahan kimia dirujuk dengan menggunakan abjad A, T, G dan C. Setiap abjad mewakili nama setiap molekul. Keempat-empat bahan kimia ini disusun di dalam kombinasi berbeza dan dapat membentuk data berbeza. Kita dapat bandingkannya dengan satu abjad. Contohnya, terdapat 26 abjad di dalam bahasa Inggeris, dan kombinasi berbeza abjad-abjad ini membentuk perkataan yang berbeza. Terdapat banyak maklumat disimpan di dalam DNA ini.

Untuk mengambarkan betapa luasnya maklumat ini, kita lihat pada perbandingan berikut: Jika kita menulis semula semua maklumat yang terdapat di dalam DNA, kita akan mendapat sebuah perpustakaan besar 900 jilid, setiap satunya 500 muka surat. Perpustakaan ini adalah sebesar padang bola sepak. Tetapi, semua maklumat ini telah dipadatkan ke dalam sebuah molekul sangat halus hinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar. Sungguh ajaib!! Jika secara logik akal kita yang lemah ini, semakin banyak buku dalam perpustakaan tersebut, maka pastilah semakin besar perpustakaan itu. Tapi Allah dapat melakukan sebaliknya! Subhanallah!



Mari kita soal para penyokong evolusi yang mengatakan alam dan semua makhluk telah wujud tanpa sengaja dan tanpa Pencipta, siapakah yang memasukkan semua maklumat ini? Siapa yang mampu memasukkannya? Mereka tidak mempunyai pilihan melainkan meneruskan ayat biasa mereka, “Semuanya berlaku secara tidak sengaja?” Tetapi, mustahil perkara yang begitu sukar ini dapat berlaku secara kebetulan. Seperti yang telah dinyatakan di atas, data di dalam DNA ini mencukupi untuk memenuhi jilid-jilid yang memenuhi sebuah perpustakaan sebesar padang bola. Apabila kita melihat perpustakaan seperti ini, apakah kita percaya data-data yang terdapat di dalamnya telah ditulis secara tidak sengaja? Atau, apakah kita fikir ia ditulis oleh para ilmuwan dan profesor terpelajar dan kemudian diterbitkan oleh sebuah syarikat buku? Sudah tentu, pendapat yang kedua lebih tepat.


Tahukah persamaan dakwaan para penyokong evolusi ini? Ia seperti seseorang menyatakan, “Telah berlaku satu letupan di dalam kilang pencetakan dan semua jilid-jilid buku ini telah terbentuk dengan sendirinya”. Cuba bayangkan pula, ketika kita sedang duduk di meja , lalu terpandang satu halaman bertajuk “Ciri-ciri Geografi Dunia Ini”, dan bertanya kepada sahabat kita siapa yang menulis halaman ini, dia menjawab: “Tadi ada sebotol dakwat di atas kertas ini. Saya tidak sengaja menumpahkannya dan tulisan ini muncul!” Kita pasti akan memikirkan dia telah tersesat akal. Tetapi para penyokong evolusi mendakwa sesuatu yang lebih mustahil. Sebagaimana satu halaman tulisan tidak dapat ada tanpa seorang penulis, begitu juga sebuah databank seperti DNA tidak dapat terjadi dengan sendiri. Allah, Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana, yang mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja, yang mencipta langit dan bumi dan apa sahaja di antara keduanya, Dia jugalah yang menjadikan DNA.

Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
(Surah Al-Baqarah:32)

Kartun Darwin, pengasas teori evolusi. Kartun ini menunjukkan teori evolusi telah dihancurkan.
Teori evolusi hari ini telah dibelasah teruk sama seperti Darwin di dalam kartun ini.



P/s: Di petik daripada buku Harun Yahya: Keajaiban cipataan Allah

Tuesday, September 29, 2009

Filem bukan sekadar filem


Menonton drama atau filem jenis penyiasatan memang menjadi pilihan saya sejak kecil lagi kerana ia banyak memberi maklumat selain menggerakkan otak saya untuk turut berfikir apabila sesuatu kes itu cuba diselesaikan oleh penyiasat. Kaedah yang digunakan dalam penyiasatan banyak memberi info kepada orang awam seperti saya. Drama dan filem jenis ini bagi saya adalah seperti serampang dua mata kerana selain menyalurkan maklumat mengenai kaedah terkini yang digunakan dalam masa yg sama mereka mempamerkan kehebatan teknologi sesebuah Negara kepada orang ramai.

Ya, memang mereka berjaya kerana apabila selesai menonton pasti penonton akan mengulas kecanggihan kaedah yang digunapakai dalam menyelesaikan sesuatu penyiasatan sekaligus menimbulkan rasa kagum penonton kepada sesebuah Negara.

Ini menunjukkan bahawa filem dan drama sangat memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat dan mendidik masyarakat. Tempang industri filem, rongaklah sesebuah masyarakat kerana masyarakat sekarang banyak bergurukan televisyen sama ada dalam pergaulan, pakaian dan pemikiran terutama generasi muda pelapis negara.

Cubalah anda lihat sekeliling, berapa kerat manusia yang menadah ilmu di Masjid berbanding yang mencedok budaya di panggung wayang? Anak-anak muda lebih berahi menghadap televisyen berbanding beriktikaf di masjid. Kerana itu,lebih ramai pengarah muslim yang kreatif patut dilahirkan. Atau mungkin, para cerdik pandai patut turun padang dengan mencurahkan ilmu mereka melalui filem dan drama. Hal ini tidak mustahil jika kerajaan bersungguh-sungguh mahu mendidik masyarakat kerana kerajaan boleh memperuntukkan sejumlah dana untuk tujuan itu.


Mungkin sukar pada peringkat awalnya untuk mengajak masyarakat menonton filem yang mendidik kerana mereka lebih gemar yang berbentuk hiburan yang melekakan. Di sini saya nampak peranan ibu dan bapa dalam membentuk budaya di rumah. Jika anak-anak begitu suka menonton filem,cuba tukarkan dan pilih filem yang berunsur pendidikan dan maklumat moga kegemaran itu dapat memberi manfaat kepada anak-anak.



Sungguh, Malaysia ketandusan filem yang memberi maklumat yang sihat dan berguna, banyak yang dihidangkan hanyalah realiti kebobrokan masyarakat yang bagi saya tidak perlu di ulang tayang dalam filem,kerana ia adalah realiti yang kita dapat tonton secara 'life' dalam masyarakat kita. Malah bagi saya filem yg sebegini banyak mendidik anak-anak kecil yang belum memahami realiti dalam masyarakat untuk mengikut perbuatan tidak senonoh yang diajar dalam filem itu. Golongan permata harapan negara inilah yang bakal terkena tempias kecelaruan karakter akibat bergurukan filem realiti itu.

Dikhuatiri mereka akan meneruskan budaya itu sepanjang perjalanan mereka menuju kedewasaan. Cuba bayangkan bagaimana mereka memimpin negara suatu ketika nanti? Maka selamanyalah budaya ini akan hidup dalam Negara kita apabila filem tidak pernah berhenti mendidik masyarakat menjiwai watak yang menyimpang dari islam dan jauh dari Allah.

Tanyalah pada diri, apa peranan kita pula?

Monday, September 28, 2009

Alarm Me!!



Pesanan ini kutujukan untuk diriku dan sahabat-sahabatku yang insyaALLAH mencintai Allah dan rasulNya,

kerana cinta itu dapat kalahkan segalanya dan membuat manusia mengikut pandangan Allah dari pandangan manusia.

Wahai yang kerap mengisi hati dengan cinta selainNya,
kemudilah hati agar tak terisi oleh cinta dunia dan laksanakanlah amalan berlandaskan ikhlas kepadaNya.

Buat sahabtku yang masih memiliki nur Iman dan islam,
jangan biarkan Nur itu suram dan malap,
terus pelihara cahaya itu.

Yamuqallibal Qulb,
thabatkan hati kami pada agamaMu dan ketaatan kepadaMu
Amiieen..

p/s: kredit buat sahabat yang mengirim pesanan ini, ia sungguh bemakna buat diri yang sedang diuji..syukron laka..

Syurga Cinta




Syurga cinta,sebuah filem yang bagi saya banyak persamaannya dengan filem Indonesia Kiamat makin hampir. Beza yang saya nampak, gadis dalam filem Indonesia itu, kurang ditonjolkan berbanding filem melayu di mana watak cikgu Syuhadah begitu menonjol dan banyak dialognya.. Bukan itu yang saya mahu perkatakan di sini, cukuplah dengan begitu banyak ulasan yang dibuat oleh pelbagai pihak.

Dalam filem tersebut terdapat dialog atuk Syuhada dengan Irham (watak utama lelaki) yang antaranya atuk itu menyebut ayat lebih kurang begini:

Jodoh itu ada 3:

1. Jodoh dari syaitan iaitu apabila kamu mencintai seorang perempuan, lalu kamu bercinta dan berzina dengannya sehingga mengandung, baru kamu nikahinya

2. Jodoh dari jin iaitu apabila kamu mencintai seseorang tetapi ia sebaliknya, lalu kamu bomohkan sehingga ia pun mencintai kamu dan menikahimu

3. Jodoh dari Allah, iaitu apabila kamu memandangnya dan jatuh cinta kemudian terus kamu meminangnya dan menikahinya.

Dalam kereta saya mngulangi ayat-ayat itu kepada adik-adik saya yang saya kasihi. Lalu yang lelaki merespon:

“Kalau jatuh cinta awal, macam mana? “

Sedaya upaya saya menjawab

“Kalau betul sukakannya, tunggu sehingga masa yang tepat tiba baharu masuk meminang dan menikah”

Ia membalas lagi

“Imam Nawawi pernah cakap, bercinta itu harus, tapi dengan syarat menjaga syarak”

“Haa..itu yang penting MENJAGA SYARAK.. kalau berjumpa berdua-duaan lelaki perempuan, mengikut syarak ke?? Perlu ada mahram yang ikut dan teman.”

Saya cuba memberi alternatif, mereka diam mungkin melawan dengan kehendak hati atau mungkin tidak terkesan di hati.. kemudian di akhir bicara adikku mengulang kata-kata imam Nawawi:

“Aku mencintaimu kerana agama dalam dirimu,

Jika hilang agama itu maka hilanglah cintaku padamu”

Saya membisik dalam hati, masih adakah adam di luar sana yang tulus mencintai hawa kerana agamanya? Saya meraba kata hati sendiri, adakah saya juga bisa mencintai seorang adam hanya kerana agamanya?

Betapa besar mujahadah yang perlu dilalui untuk mencapai tahap itu Hanya Allah jua yang bisa memberi kekuatan dan hidayah,





Adik-adikku,

Mengertilah, kakakmu bukan ingin memusnahkan cinta yang sedang mekar di hatimu itu,

Cuma kegusaran ini memang wajar ku dendangkan,

Tidakkah kau melihat wahai adikku,

Berapa ramai mereka yang terperosok di lembah hina hanya kerana cinta nafsu yang kotor,

Berapa banyak yang melupakan Allah dan agama apabila mencintai dan dicintai tanpa batas syariat,

Adik-adik yang kukasihi,

Kakakmu bimbang jika cinta itu akan memudarkan cintamu pada Allah,Rasulullah,umi dan abi..

Mengapa engkau menbaja pada tanah yang bukan hakmu?

Mereka yang engkau cintai itu bukanlah milikmu, selagi belum diikat dengan pernikahan

Mereka dan kamu adalah milik Allah.

Adik-adik yang kusayangi,

Adakah kau tidak yakin dengan janji Allah bahawa setiap orang itu ada jodohnya.

Jika benar ia jodohmu, yang kau rasakan telah ditulis untukmu,

tunggulah sehingga masa yang sesuai dan kemudian nikahinya

Supaya terjaga kesucian jiwa dan cintamu.

Supaya terpelihara maruah diri dan agamamu.

Adik-adikku,

Renungkanlah dengan mata hati

Tanya pada imanmu


Kakak mendoakan agar kalian mengecap manisnya cinta Allah dan meraih tenangnya jiwa yang dicintai Allah. semoga kalian memperolehi syurga cinta yang hakiki..

Character designer

Cikgu datang,baru buka buku ye Hani..
Kuatnya suhail..!!
Rajinnya Najihah...
Peace....!!! 3 Sekawan, shahrul,riduan,suhail
Wahh..gelak besar ye?? kerja sekolah dah siap??
Cikgu, Nizarul tak tahu nak buat macam mana soalan ni?

Terima kasih ya Allah, kerana memberi aku peluang merasai bagaimana menjadi seorang pendidik. Mereka ibarat kain putih, ibu bapa dan guru adalah antara pencorak jati diri mereka. Mereka tulus mempelajari kehidupan, tiada prasangka dan tidak berdendam. sungguh tulus jiwa-jiwa kecil ini..


Wahai ibu bapa,
Jika anak-anakmu kurang bijak dalam akademik,

janganlah lekas kecewa,
jangan pinggirkan mereka percayalah ada potensi lain dalam dirinya yg telah Allah kurniakan. Jika anak-anakmu nakal ,
janganlah cepat menghukum
koreksi diri,
dimana silapnya
cara didikan atau pendekatan yang salah?
Mereka hanya kain putih yang mendamba curahan kasih sayang..

Jangan biarkan media mencorak mereka,
Jangan sehingga t.v dan segala hiburan menjadi pendampingnya,
atau nanti kita akan menyesal, apabila pewaris yang tinggal hanyalah yang jahil agama dan bobrok akhlaknya.

Wahai guru,
tugas kalian bukan hanya mengajar dan megejar silibus,
ada yang lebih mulia,
iaitu tanamkanlah tauhid dalam jiwa mereka
suburkan iman mereka dengan sentiasa mengaitkan pelajaran dengan Allah.
Agar mantap keyakinan mereka
Jika mereka nakal, beri pengajaran yang mendidik bukan menghukum penuh dendam.

Wahai semua yang di luar sana,

Jangan ingat kalian boleh merasa lega,

enak melepas tangan pada ibu bapa dan guru,

kalian juga punya peranan kerana mereka adalah pelapis masyarakat
Berilah teladan yang mulia dan tegurlah jika melihat yang salah..

Sungguh, kitalah 'character designer' legasi kita..

Belahan jiwa


Mendamba pendamping yang paling bertaqwa,
Adakah kita juga bertaqwa?
Mengharap teman yang paling setia,
Adakah kita seorang yang setia?
Mengimpi belahan jiwa yang paling ideal,
Adakah kita sudah sempurna?

Janganlah mengharapkan kesempurnaan kerana dia juga sepertimu,
yang punya banyak kelemahan,
yang imannya kadang naik, kadang turun,
yang setianya pasti di uji Allah..
Apabila dialah yang ditakdirkan sebagai belahan jiwamu,
pasti Allah menyempurnakan kelemahan itu dalam dua jasad yang bersatu jiwa..
Yakin dan bertwakkallah kepada Allah..

Sunday, September 27, 2009

Hanya Dia



Hanya Dia tujuanku

Tanpanya hilanglah arahku
Dialah segalanya bagiku
Yang memberi tanpa meminta balasan
Yang melihat tanpa dapat dilihat
Yang memiliki tanpa dimiliki

Hanya Dia satu-satunya
Tiada dua atau tiga
Juga tiada tiga dalam satu
Yang mentadbir seluruh semesta
yang memegang segala rahsia
Yang mendengar semua yang bersuara

Allah rabbul izzati.. hanya Dia yang layak disembah

Tuesday, July 21, 2009

Bijak Wang

Salam,

Rasanya dah lama saya tak menulis dalam blog ni. Lama menyepi rindu pula rasa dihati.

Entry kali ini, saya ingin mengulas satu rancangan TV yang bagus untuk tatapan kita semua. Mungkin ada yang setia menonton rancangan ni, tapi rasanya ramai lagi yang tidak.

Bijak wang. Satu rancangan yang berdiskusi pasal wang ataupun personal finance. Rancangan ini disiarkan setiap sabtu pukul 7 pm di TV 3. Kadang-kadang sedih juga sebab waktu dah nak maghrib selalunya sibuk untuk persiapan kendiri.

Banyak info yang berguna boleh diperolehi di rancangan ni. Azizi Ali selaku macam co-pengacara disamping pengacara tetapnya Nurun bijak dalam menyedarkan kita tentang peri pentingnya pengurusan kewangan peribadi.

Selalu kalau kita bercakap tentang wang, ramai yang mengelak.

"Alah, income sikit jak, buat apa nak urus." Tapi, Azizi Ali kata, duit yang sikit itulah kena urus. kalau pendapatan yang diperolehi sampai mengalir dari telinga, itu tiada masalah.." Lebih kurang begitulah.

Sebenarnya, kalau kita tidak mampu membayar ansuran kereta kurang dari setahun kita sebenarnya tidak mampu untuk memiliki kereta tersebut. Lebih baik ambil kereta yang lebih murah (maksudnya macam secondhand ka) sesuai dengan tahap kewangan kita. Tambahan pula, sebelum beli lebih baik simpan wang sampai kita boleh bayar down payment 50% daripada harga kereta tu, jadi sekurang-kurangnya dalam masa setahun sudah boleh langsaikan ansuran. Kalau tidak, padahlah jawabnya.

Begitu juga dengan pembelian rumah..Banyak yang perlu difikirkan. Jika tidak, kehidupan kita ini hanya untuk membayar hutang..Sungguh malang..

Dalam hal persaraan pun ada dibincangkan..Menurut fakta, ramai dikalangan pekerja hanya ada simpanan KWSP dibawah 50k..Dalam 3-4 sudah habis selepas pencen nanti..Lepas itu, nak hidup dengan apa?

Banyak lagi sebenarnya, jadi nasihat saya jom kita tonton rancangan ini. 30 minit saja seminggu. Banyak yang kita boleh dapat..Sebenarnya, fikir-fikir balik, info ini kita boleh juga dapat dari buku beliau yang bertajuk ''Millionares from different planet''..

Teringat satu pepatah,

"You are what you read..."

Monday, July 6, 2009

Mengapa aku lama tak menulis?

Kenapa?
Kemarau idea...
Kenapa?
Kurang membaca..
Kenapa?
Kerap beralasan..
Kenapa?
Krisis sikap..
Kenapa?
Kelam mata hati..
Kenapa?
Kontang zikrullah..

Kerana itu, aku lama tak menulis?

Our Long Journey

Daisypath Anniversary tickers

ShareThis

Need He