Tuesday, April 20, 2010

Warkah Cinta dari Fatimah Az-Zahrah


Waalaikumsalam warahmatullahi wabarokatuh..

Ke hadapan IMAN yang sentiasa mencintai dan mengasihiku,

IMAN, aku tidak pernah meragukan kesetiaanmu selama ini. Tidak pernah terdetik sesaat pun untuk aku meninggalkanmu. Aku sangat beruntung memilikimu di sisiku dan aku sentiasa menginginkan kau di sisiku. Ketahuilah, aku rindukan saat-saat manis ketika kita membaca al-quran,bertadabbur lalu menangis bersama dalam sujud yang panjang. Saat itu aku merasa betapa akrab hubungan kita dan aku mahu mengulanginya lagi dan lagi tanpa jemu. IMAN, ketika kau melihat aku seolah menjauh darimu, ketahuilah jauh di sudut hatiku, aku rindukan kehadiranmu. Tidak tertahan lagi rasanya menanggung kerinduan ini, maka surat ini menjadi tukang cerita isi hatiku.

IMAN, aku sangat bersyukur kepada Allah kerana menemukan aku dengan mu. Ketika itu aku telah berjanji untuk tidak akan melepaskanmu apatah lagi untuk membencimu. Kau tahu IMAN, kau telah berjaya mencuri hatiku kerana keperihatinanmu terhadap diriku. Setiap kali kau melihat aku terlalai dan terleka kau pasti akan menegurku, tidak akan pernah membiarkan ku melakukan kesalahan berulang kali. Walau sesekali aku tidak menghiraukannya. Kau terus bersabar dan terus menegurku. Di saat aku menangis kerana berduka dan merasa keseorangan, kau membisikkan kata-kata penuh semangat, mengiramakan kalamullah penuh kesyahduan sehingga keesokan harinya aku mampu tersenyum dan terus berusaha. Terima kasih IMAN kerana kau tidak pernah jemu melayan kerenahku. Tidak pernah merasa jengkel terhadapku walau terkadang kau melihatku goyah dalam pendirianku.

Benar IMAN, aku tidak lupa tujuan hidupku dan segala janjiku padamu, aku tidak berubah tapi aku cuma terleka. Kau arif bukan, bahawa kau tidak bersendirian dalam merebut hatiku. Dunia dan nafsu tidak pernah berhenti untuk memikatku. Mereka pesaingmu yang tidak akan pernah jemu dalam usaha mereka. Maafkan aku IMAN, aku bukanlah meninggalkanmu kerana mereka, cuma terkadang, aku termakan gula-gula pemberian mereka dan ketika itu juga kau akan datang dan memberitahuku, bahawa gula-gula itu punya racun yang akan membinasakan diriku, lalu kau keluarkannya dari mulutku. Terima kasih IMAN, aku terharu dengan perhatian dan kasih-sayangmu selama ini. Aku akan sentiasa berusaha memperbaiki diriku dan pintaku, jangan pernah kau menjauh ketika aku sedang bergelut melawan kemahuan diri sendiri. Aku yakin kau tidak akan pernah melakukannya.

Aku juga mencintaimu IMAN sehingga aku merasakan bahawa kau adalah kurniaan ALLAH yang paling berharga dalam hidupku dan aku selalu memohon kepada ALLAH agar kita dapat melangkah ke syurga bersama.

IMAN,terima kasih sekali lagi atas keperihatinan dan kasih sayangmu,
Sekian dulu dariku.


Yang sentiasa merinduimu,
~Fatimah Az-Zahrah~

1 comment:

  1. Salam,

    Sangat terkesan di hati lak...Makin kerap ku baca makin tersentuh jiwa...

    ReplyDelete

We are not just selling a product, we are promoting a healthier lifestyle :)

Our Long Journey

Daisypath Anniversary tickers

ShareThis

Need He